27 September 2009

Sura Gate : Kg. Alor Tembesu, Pemuda Mati Di Belasah

27 September 2009



Sumber : Berita Harian Online


KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang disangka pencuri mati dibelasah sekumpulan lapan lelaki dalam satu kejadian di Kampung Alor Tembesu, Dungun, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Noor Azhar Mohd Zain, 24, mengalami kecederaan serius di kepala, perut serta mulut selepas dibelasah kumpulan lelaki terbabit, termasuk seorang pelatih konstabel sokongan, polis bantuan Petronas, anggota tentera dan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata kejadian berlaku apabila seorang daripada suspek iaitu pelatih konstabel dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) mengunjungi rumah ibu angkatnya di Kampung Sura Gate bersama semua rakannya kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin.
Suspek kemudian tiba-tiba menyedari kelibat mangsa di bahagian luar rumah dalam keadaan mencurigakan dan menyangka mangsa seorang pencuri, lalu bertindak mengejar mangsa bersama rakan lain.

"Kerana menyangkakan mangsa adalah pencuri, suspek bersama rakan mengejar mangsa sebelum dapat menahannya di Kampung Alor Tembesu, kira-kira 170 meter dari rumah ibu angkat suspek.

"Selepas ditahan, mangsa tidak mengaku mencuri dan suspek serta rakan yang tidak puas hati terus membelasah mangsa yang parah di kepala dan perut sehingga pengsan.


Sumber : Sinar Harian

KUALA TERENGGANU- Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki membelasah seorang penagih dadah sehingga mati selepas penagih itu dipercayai mencuri, di Kampung Alor Tembesu di Dungun awal pagi semalam.

Ketua Polis Terengganu ACP Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata antara yang ditahan bagi membantu siasatan dalam kes itu ialah pelatih polis, anggota tentera, anggota polis bantuan Petronas, dan penuntut institusi pengajian awam.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi semasa seorang pelatih konstabel dari Pusat latihan Polis (Pulapol) pergi kerumah ibu angkatnya di Kampung Sura Gate, Dungun bersama sekumpulan rakan-rakannya.

"Apabila tiba mereka ternampak seorang lelaki berumur 24 tahun di luar rumah itu dalam keadaan mencurigakan, dan mereka mengesyaki dia adalah pencuri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya kumpulan lelaki itu kemudiannya mengejar penagih berkenaan sehingga ke Kampung Alor Tembesu, kira-kira 170 meter dari Kampung Sura Gate, dan membelasahnya.

Mohd Shukri berkata akibat dibelasah, lelaki itu pengsan selepas mengalami kecederaan parah di kepala, mulut serta calar-calar di bahagian perut, dan dia meninggal dunia pada kira-kira pukul 6 petang semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bedah siasat mendapati lelaki yang berasal dari Kampung Alor Tembesu itu meninggal dunia akibat keretakan serius di tempurung kepala," katanya.

Beliau berkata semua suspek yang berumur antara 20 dan 25 tahun dari Dungun itu ditahan reman selama enam hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya polis masih mencari seorang lagi lelaki yang sudah dikenal pasti identitinya untuk membantu siasatan.
Share


0 comments
 

1Dungun (www.1dungun.blogspot.com dahulunya dikenali sebagai myDungun (www.mydungun.blogspot.com), jesteru itu segala artikel- artikel dan komen - komen yang diterima di dalam blog ini adalah sebahagian daripada Blog myDungun sehinggalah artikel yang bertarikh 23 Mac 2010.Walaubagaimanapun, sebagai langkah penjenamaan semula ke arah penulisan yang lebih formal dan profesional. Tidak kesemua artikel – artikel serta komen – komen asal dari myDungun dipaparkan di sini, malah ada diantaranya diubahsuai semula (dari masa ke semasa dari segi gaya penulisan dan sebagainya. – Pentadbir Blog 1Dungun.